oleh Dr. Tan Huck Joo
Kanser kolon atau kanser rektum yang juga dikenali sebagai kanser kolorektal menyebabkan 655,000 kematian di seluruh dunia setiap tahun. Ia merupakan antara penyebab utama kematian di kalangan lelaki Malaysia dan pembunuh ketiga di kalangan wanita negara ini.
Kanser kolon atau kanser rektum yang juga dikenali sebagai kanser kolorektal menyebabkan 655,000 kematian di seluruh dunia setiap tahun. Ia merupakan antara penyebab utama kematian di kalangan lelaki Malaysia dan pembunuh ketiga di kalangan wanita negara ini.
Kanser kolon bermula dengan polip. Peringkaan permulaan polip akan tumbuh berbentuk benjolan kecil seperti cendawan di permukaan kolon. Polip adalah petanda awal kanser kolon. Kebanyakan polip tidak berbahaya tetapi ada sesetengahnya boleh bertukar menjadi kanser.
Kanser kolon boleh dicegah dan dirawat sekiranya dikesan awal. Oleh itu cara untuk mengelak daripada mendapat kanser kolon adalah dengan menjalani pemeriksaan doktor.
Pemeriksaan Awal
Pemeriksaan awal bertujuan mengenalpasti atau mengesan kanser kepada pesakit yang tidak menunjukkan tanda gejala dan tidak mempunyai sejarah penyakit kanser kolon. Kanser kolon boleh menyerang tanpa sebarang tanda. Adalah penting untuk menjalani pemeriksaan, atau ujian, oleh doktor walaupun anda tidak mengalami sebarang tanda dan gejala.
Berdasarkan data yang diperolehi dari negara Barat, individu yang berisiko tinggi dan mencapai usia 50 tahun digalakkan menjalani pemeriksaan awal pada usus iaitu kolonoskopi. Individu yang berisiko tinggi yang dimaksudkan adalah mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap penyakit kanser kolon.
Mengikut panduan American College of Gastroenterology, jika anda mempunyai saudara terdekat (ibu bapa atau adik-beradik) menghidapi kanser kolon pada usia 60 tahun ke atas atau sebelum umur 60 tahun, anda perlu mula menjalani pemeriksaan usus atau kolonoskopi pada umur 40 tahun. Atau anda perlu melakukan pemeriksaan 10 tahun lebih awal daripada pesakit yang paling muda. Sebagai contoh, jika adik beradik anda menghidapi kanser kolon pada umur 38 tahun, anda perlu menjalani pemeriksaan pada umur 28 tahun.
Pemeriksaan awal oleh doktor untuk kanser kolon adalah penting untuk mengelakkan kanser kolon. Tetapi, ia memerlukan banyak sumber dan tenaga manusia untuk melakukannya. Selain daripada kolonoskopi yang merupakan cara terbaik untuk mengesan kanser kolon, terdapat kaedah lain untuk mengesan kanser kolon seperti pemeriksaan darah dari najis, barium enema, sigmoidoskopi dan imbasan kolonografi CT.
Mengesan Kanser Kolon
Jika dikesan awal, peluang untuk sembuh adalah lebih tinggi bagi penghidap penyakit kanser kolon. Malangnya, kebanyakan pesakit berjumpa doktor apabila kanser pada tahap sudah teruk. Mereka enggan berjumpa doktor hingga tanda gejala berlarutan beberapa bulan.
Dan apabila mereka berjumpa dengan doktor, kanser tersebut mencapai tahap 3 (tahap yang agak teruk) atau 4 (kanser yang telah merebak ke organ lain, seperti hati atau peparu). Tahap 4 merupakan kanser terminal dan kemungkinan peluang untuk hidup adalah tipis. Diagnosis awal adalah penting dan seharusnya pesakit mendapatkan rawatan segera sejurus mempunyai tanda gejala kanser kolon.
Sekiranya anda mempunyai tanda gejala kanser kolon dan mendapatkan pengesanan awal doktor, doktor anda mungkin akan melakukan pemeriksaan usus atau kolonoskopi di bawah pembiusan ringan.
Kolonoskopi adalah prosedur yang boleh dilakukan di bilik rawatan harian. Dalam prosedur kolonoskopi doktor akan menggunakan skop iaitu satu tiub panjang dan boleh melentur (fleksibel) dengan garis pusat ½ inci. Tiub ini disambungkan ke alat perakam kamera video untuk doktor memeriksa seluruh kolon dan dubur (rektum). Prosedur ini boleh dilihat oleh doktor dengan jelas pada skrin televisyen.
Semasa prosedur, doktor boleh membuang polip atau mengambil sampel tisu yang tidak normal di dalam usus untuk dianalisis. Pembuangan polip bertujuan mengurangkan risiko pesakit mendapat kanser. Prosedur kolonoskopi berguna untuk mendiagnos penyakit dan ia juga berguna merawat pendarahan usus, membuang polip dan merawat usus yang tersumbat disebabkan kanser kolon.
Barium enema dan imbasan kolonografi adalah satu lagi cara yang sesuai untuk mendiagnos kanser kolon yang telah menyumbat lubang usus. Tetapi dengan cara ini doktor tidak dapat mengambil sampel tisu kolon untuk dianalisa.
Ujian darah CEA (Carcinoembryonic Antigen) pula tidak tepat untuk mengesan kanser kolon. Bagaimanapun, bacaan CEA yang tinggi tidak semestinya menunjukkan pesakit menghidap kanser kolon, tetapi kemungkinan pesakit menghidap kanser paru-paru atau kanser perut. Bacaan CEA yang tinggi boleh juga dikesan di kalangan perokok. Untuk peringatan, bacaan CEA pada paras normal tidak semestinya bermaksud seseorang itu bebas dari kanser kolon.
Rawatan
* Pembedahan - Harapan pesakit kanser kolon untuk sembuh adalah dengan menjalani pembedahan. Sekiranya ketumbuhan yang dialami oleh pesakit belum merebak, pembuangan sebahagian usus melalui pembedahan akan dilakukan. Cara pembedahan yang dilakukan bergantung pada lokasi ketumbuhan. Jika kanser tersebut adalah terlalu dekat dengan dubur, pesakit mungkin memerlukan beg kolostomi sementara dan kolon disambung semula selepas beberapa bulan. Lebih awal kanser dapat dikesan, lebih besar peluang pesakit dapat hidup dengan jangka masa yang lebih panjang.
Pembedahan kadang-kala juga akan dijalankan ke atas pesakit yang mengalami kanser terminal di mana penyumbatan keadaan usus tersekat disebabkan kanser yang terlalu besar dan menutup lubang usus, yang juga boleh menyebabkan kebocoran usus.Colonic stenting atau proses penggunaan pendawaian tiub adalah alternatif lain untuk mengurangkan sumbatan kolon daripada kanser kolon.
* Kemoterapi - doktor menggunakan ubat anti-kanser untuk menghalang pertumbuhan atau membunuh sel kanser. Kebanyakan ubat anti-kanser diberi melalui suntikan. Rawatan kemoterapi adalah lebih berkesan untuk membunuh sel kanser dan menghalang perulangan. Secara umumnya, cara ini mempunyai kesan sampingan tetapi boleh dikawal secara keseluruhan.
* Terapi radiasi - menggunakan sinar-X berkuasa tinggi digunakan untuk membunuh sel kanser dan menghalangnya daripada merebak. Rawatan ini juga digunakan bersama kemoterapi untuk mengecutkan ketumbuhan sebelum pembedahan.
* Imunoterapi atau terapi biologi - terapi ini meningkatkan fungsi anti-kanser pesakit dengan menggunakan sistem imun tubuh badan untuk melawan kanser.
Bolehkah Kanser Kolon Dicegah?
Walaupun faktor risiko utama kanser kolon adalah gen anda, terdapat beberapa bukti yang menunjukkan anda boleh mencegah kanser ini. Anda boleh melakukannya dengan menambah pengambilan makanan berserat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, mengamalkan diet rendah kalori, berhenti merokok, mengurangkan atau berhenti mengambil alkohol dan banyakkan bersenam adalah terbukti dapat mencegah daripada mendapat kanser.
Sekiranya anda mempunyai sejarah kanser kolon dalam keluarga, risiko anda mendapat kanser kolon adalah tinggi dan ujian pemeriksaan awal oleh doktor adalah sangat penting. Ingat, kanser kolon boleh dielakkan. Oleh itu, jika anda berada dalam kumpulan yang berisiko tinggi, jalani ujian pemeriksaan awal. Jangan tunggu sehingga anda melihat tanda dan gejalanya untuk berjumpa doktor
Saringan awal kanser kolon
RAMAI yang tidak menyedari bahawa kanser kolon merupakan kanser utama yang menyerang kaum lelaki dan ketiga paling banyak melibatkan wanita di negara ini. Lebih memeranjatkan, komuniti Cina mencatatkan jumlah kes yang tertinggi.
Walaupun punca sebenar kanser kolon masih kabur, namun dengan pengesanan awal peluang pesakit untuk sembuh adalah tinggi.
Sungguhpun begitu, kesedaran terhadap risiko dan pencegahan awal terhadap kanser kolon masih di tahap kritikal.
Kanser kolon atau kanser usus ialah kanser yang menyerang kolon dan rektum iaitu bahagian usus besar yang membantu mencernakan makanan dan membuang bahan-bahan kumuh.
Dianggarkan 1.2 juta kes baru kanser kolon dicatatkan di seluruh dunia pada tahun 2007 dengan anggaran 63,000 yang menemui ajal akibat penyakit itu setiap tahun.
Presiden Persatuan Advokasi Kanser Malaysia, Empowered!, Dr. Christina Ng yang juga merupakan Pakar Runding Onkologi memberitahu, punca sebenar kanser kolon masih belum diketahui, tetapi banyak faktor yang menyumbangnya dalam jangka masa panjang.
Antaranya ialah faktor umur, sejarah keluarga, diet, penggunaan tembakau, gaya hidup dan penyakit usus.
"Seseorang itu berisiko mendapat kanser kolon seiring dengan pertambahan usia. Lebih 90 peratus kes yang dicatatkan di Malaysia melibatkan mereka yang berusia 50 tahun ke atas.
"Sejarah keluarga turut menjadi faktor seseorang itu berisiko tinggi mendapat kanser kolon. Pengambilan lemak yang tinggi dan kurang mengambil makanan berserat boleh menyebabkan perkembangan kepada penyakit ini," katanya.
Tambahnya, tabiat merokok juga berisiko kerana ia akan menyebabkan pembentukan polip. Penyakit itu juga menyerang mereka yang obes dan tidak aktif secara fizikal.
Terdapat empat peringkat kanser kolon. Peringkat pertama, kanser berada di dalam lapisan kolon atau rektum dan mula merebak ke dinding kolon pada peringkat kedua.
Pencegahan awal
Kanser itu dikategorikan pada tahap ketiga apabila ia mula merebak di kawasan berhampiran nodus limfa dan akhirnya ke beberapa bahagian organ badan seperti hati dan paru-paru.
Sehubungan itu, pencegahan awal sangat penting sebelum seseorang itu menunjukkan sebarang simptom yang mengaitkannya dengan kanser kolon.
"Saringan awal sangat penting dan golongan yang berumur 50 tahun ke atas disarankan melakukan ujian bagi mencegahnya di peringkat awal.
"Walaupun kita tidak mengetahui penyebab kanser kolon, sekurang-kurangnya beberapa panduan dapat diikuti bagi mengurangkan risiko dengan mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga berat badan dan mengamalkan diet rendah lemak dan tinggi serat," ujarnya.
Prihatin dengan tahap kesedaran yang rendah di kalangan masyarakat, Persatuan Advokasi Kanser Malaysia mengadakan Projek Saringan Barah Usus Besar kepada golongan yang kurang berkemampuan bermula April lalu dan Mei ini.
Jelasnya, melalui projek saringan itu, kanser kolon dapat dikesan pada peringkat awal seperti yang dijalankan di Australia dan United Kingdom. Ia berjaya mengurangkan kadar kematian penghidap kanser tersebut.
"Projek ini bertumpu kepada golongan kurang berkemampuan dan miskin di komuniti Sentul. Sukarelawan dengan bantuan pemimpin setempat bekerjasama bagi memberikan pendedahan mengenai kanser kolon melalui risalah dan ceramah-ceramah.
"Bagi memastikan maklumat sampai kepada golongan sasaran, maklumat dan ceramah diberikan dalam tiga bahasa iaitu dalam bahasa Malaysia, Mandarin dan Tamil. Mereka juga akan diajar bagaimana menggunakan kit ujian najis yang diedarkan ketika bengkel dijalankan," katanya.
Pendaftaran para peserta dijalankan secara berperingkat pada April lalu di lapan buah flat di Sentul membabitkan 70 orang untuk setiap blok.
Kesemua sampel akan dihantar ke HOPE Worldwide Kuala Lumpur untuk pemeriksaan. Jika terdapat sampel yang positif, pesakit yang terlibat akan dirujuk kepada pihak hospital untuk ujian pengesahan.
Bagi mendapatkan informasi lebih lanjut mengenai Projek Saringan Barah Usus Besar, layari laman web www.empowered.org.my atau hubungi talian 03-6142 400
No comments:
Post a Comment